Thursday, June 17, 2010

Pen RM4.20, pejabat tanah dan retorik muktamar

Pen RM4.20, pejabat tanah dan retorik muktamar

PUKUL 9 pagi di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas (PTJPM) terlihat sibuk. Tidak banyak kerusi orang awam menunggu giliran yang tersisa kosong. Semua hampir penuh dengan orang yang datang silih berganti. Hidup di Pasir Mas, daerah bersempadan Kota Bharu di timur dan Thailand di barat, tetap bermula awal.

Yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya - mungkin ini gambaran yang dapat dilihat di pejabat ini. Pelanggan, kebanyakan warga tua berusia emas yang ditemani waris seperti teraba-raba dan tertanya-tanya untuk menyelesaikan urusan mereka.

Ada yang lebih selesa menggunakan khidmat orang tengah. Tak perlu mundar-mandir, tak perlu turun naik tangga. Mudah dan tidak membazir masa, kata mereka.

"Pen mata bulat tak boleh, guna pen dakwat basah, boleh tanya kedai di seberang jalan." nasihat seorang petugas. Urusan mengisi borang (pindah milik tanah, bahagian atau pajakan) ternyata rumit. Maklumat yang diperlukan nampak ringkas tapi prosedurnya teramatlah melelahkan.

Bayangkan untuk mengisi borang pun memerlukan pen khusus berharga RM4.20 di kedai seberang! Tidak pula pen itu disediakan di kaunter penerangan di pejabat ini.

Ini belum lagi sikap seorang kakitangan yang lebih mengutamakan keretanya yang perlu dialih daripada pelanggan yang tekun menunggu seperti meminta belas agar dilayani segera.

Dan ini pula jawapan jurujual kedai seberang: "Sepatutnya pejabat tanah sediakan atau jual pen ini di situ, tak perlu susahkan orang melintas jalan untuk beli pen ini."

Seorang jurujual yang mungkin hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun boleh memberi saranan sebegitu. Birokrasi seakan telah melilit gerak kerja pejabat tanah ini.

Ia masih jauh daripada visi PTJPM bersalut harapan - untuk menjadi institusi pejabat tanah dan jajahan yang terulung dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam era teknologi dan globalisasi menjelang 2020.

Slogan indah ada ditampal di mana-mana. Tapi sayang ia tidak diserap dalam perkhidmatan secara keseluruhannya. Diakui majoriti kakitangannya mesra dan sopan tetapi tahap kecekapan kerja masih jauh daripada yang diharapkan.

Borang mudah berharga RM2 perlu diisi dengan pen RM4.20 di kedai seberang adalah mula birokrasi yang melelahkan. Selepas borang lengkap diisi, ia kemudian perlu disahkan di kaunter berbeza. Perlu naik turun tangga dan menunggu giliran.

(Bangunan dua tingkat PTJPM unik kerana pintu utama di depan jarang digunakan pelanggan tapi sebaliknya tumpuan utama keluar masuk ialah di pintu tengah iaitu antara dua blok bangunan pejabat tanah ini).

Selepas itu, perlu ke tingkat dua untuk berurusan dengan bahagian jurunilai tanah. Kemudian ke tingkat bawah semula ke pejabat penolong pentadbir tanah bagi mendapatkan pengesahan nilai setem. Di pejabat ini, semua penama yang terlibat perlu membuat pengesahan dengan cap jari.

Mujurlah pejabat pos terletak berdekatan untuk membeli setem. Mungkin ini bukti secanggih mana kita, pejabat pos masih tetap diperlukan.

Setelah setem hasil dibeli, pelanggan perlu pula ke kaunter untuk pengesahan dan matikan setem. Ada cara tersendiri menyusun setem kerana ruangnya terhad dengan jumlah setem bernilai beratus ringgit perlu ditampal kemas.

Nilaian berbeza-beza bergantung kepada jenis tanaman di tanah berkaitan. Ini pun menimbulkan rungutan kerana nilai cukai telah mendadak naik. Yang terdengar daripada perbualan mereka ialah kerajaan negeri tidak ada duit.

Setelah urusan melekat setem selesai, ke kaunter lain pula untuk fotokopi borang. Salinan dan borang asal perlu diserahkan ke kaunter yang berbeza. Begitulah rencah dan ragamnya untuk urusan yang satu ini yang mengambil waktu seharian. Wajar sahaja urusan pindah hak milik tanah ini jarang-jarang orang lakukan. Kalau tidak, lagi kelam kabut pejabat tanah ini.

Urusan belum selesai. Malang sekali kerana jam telah menunjukkan tepat pukul 1. Semua kaunter ditutup dan hanya dibuka semula 2 petang. Tak ada kompromi kerana tidak ada petugas yang boleh melayani pelanggan.

Sebaik pukul 2, salinan dan borang asal diserahkan ke kaunter berasingan. Tetapi petugas maklumkan ada tanda tangan pegawai penilai tertinggal dan perlu juga diisi. Sedangkan pegawai berkenaan tadinya memaklumkan tanda tangannya bukan satu kemestian.

Mujurlah juga pegawai ini meminta maaf setelah dimaklumkan kakitangan bawahannya tetap bertegas mengenai keperluan tanda tangannya. Bagaimana boleh ada dua prosedur - satu kakitangan dan yang satu versi pegawai?

Selepas itu salinan asal diserahkan ke kaunter pengesahan sama ada cukai hasil telah dibayar atau tidak. Jika belum dibayar dan juga untuk membuat bayaran pindah milik, pelanggan perlu turun tangga lagi untuk membuat pembayaran.

Setelah itu disusuli naik tangga semula untuk mendapat surat pengesahan geran baru. PTJPM menjanjikan geran baru siap selang sehari. Wah hebat. Dengan kecanggihan teknologi, geran baru dapat siap dengan cepat. Tak payah tunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Mungkin ini maksud menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam era teknologi dan globalisasi menjelang 2020 dalam visi jabatan itu. Visi yang nampak dipaksa-paksa untuk dicapai.

Kedengaran perbualan dua lelaki, masing-masing bertongkat yang merungut susahnya urusan pindah milik tanah. Sewajarnya pelanggan seperti dua lelaki bertongkat ini diberi keutamaan dan keistimewaan. Kasihan, mereka warga tua tak perlu dipaksa turun naik tangga untuk mendapatkan cap jari.

Pasti PTJPM telah banyak melakukan kajian dan sesi lampas otak untuk menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin. Tetapi realitinya, kualiti manusia dan kesungguhan pengurusan yang akan menentukannya. DI PTJPM, era teknologi dan globalisasi belum ketara. Mengapa tidak belajar dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Imigresen?

Mungkin agak keterlaluan dikatakan bahawa mentaliti sebahagian kakitangan mahupun penguasa yang menaungi pejabat ini masih di takuk tahun 1988 - tahun bangunan PTJPM dirasmikan.

Mungkinkah visi dan misi pejabat ini turut dikongsi oleh pimpinan kerajaan negeri? Kira-kira 50 kilometer dari pejabat ini, pada hari yang sama di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, kepemimpinan nampaknya lebih gemar bercakap soal politik.

Memang muktamar Pas ke-56 ini medan untuk berpolitik, tempat untuk mengukuhkan persaudaraan politik. Jarang kedengaran teguran mengenai polisi mahupun pelaksanaan polisi kerajaan negeri. Semuanya totok politik!

Pemimpin mahupun pembahas di muktamar ini lebih banyak membahas soal kepentingan mereka. Sedangkan, kini parti mereka bersama dua rakan pakatan pembangkang memerintah Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Tidak adakah cacat-celanya pentadbiran kerajaan negeri ini sehingga tidak kedengaran kritikan mahupun cadangan untuk menambah baik kualiti kepemimpinan pakatan pembangkang yang semerbak dengan pelbagai slogan? Aneh, ramai pembahas mengakui adalah profesional muda tetapi tidak berani menyuarakan hati nurani rakyat.

Muktamar ke-56 ini yang nampak berbeza dengan kehadiran penyokong bukan Islam, adalah seloka lama. Masih banyak retorik, termasuk ungkapan-ungkapan memuji kualiti pembahas bertambah baik. Sehingga ada pemerhati menelah mungkin pembahas telah diberi amaran supaya tidak membangkitkan perkara sensitif atau kritikan tajam kepada kepemimpinan.

Yang banyak dikecam ialah UMNO/Barisan Nasional. Yang selalu salah ialah kerajaan BN. Punca anak muda rosak akhlaknya ialah BN. Yang menipu rakyat ialah pemimpin BN. Semua salah BN tanpa ditanyakan efektifkah peranan mereka di empat negeri ini?

Jika di negeri lain isu bekalan air bersih yang begitu lama tertunggak boleh menumbangkan kerajaan negeri tapi nampaknya tidak di Kelantan. Mungkin pemimpin mereka bijak mengalihkan isu, dengan cara memainkan sentimen dan emosi rakyat.

Akhirnya, seperti yang kita hadapi sekarang, dari pilihan raya ke pilihan raya, negara tetap terus dibebani dengan kegiatan berkepentingan politik semata. Maka, penduduk Pasir Mas akan terus memerlukan pen RM4.20 untuk berurusan dengan pejabat tanah.

0 comments:

Post a Comment